Monday 18 April 2011

SYARAHAN : REMAJA PEMANGKIN ULAMA’ DAN UMARA’


Bismillahirrahmanirrahim…..

Penat sudah menunggu giliran,
Bagai menunggu bulan ke riba,
Renung-renung sidang dewan sekalian,
Izinkan saya memulakan bicara.

            Terima kasih kepada tuan pengerusi majlis, Yang mulia Tuan Pengetua SMA….., kombinasi panel hakim yang segak lagi bergaya seperti saya di atas ini, penjaga masa yang setia dengan jam randiknya, dif-dif jemputan kehormat seterusnya hadirin dan hadirat yang dihormati dan disayangi sekalian. Assalammualaikum dan salam sejahtera pembuka bicara.

Hadirin dan hadirat sekalian,

            Sebelum bibir berkata-kata, sebelum lidah mengatur bicara, moleklah kiranya saya mendefinasikan maksud kata-kata yang menjadi mauduk pidato saya pada pagi ini ‘Remaja Pemangkin Ulama’ dan Umara’. Remaja ditakrifkan pemuda dan pemudi yang berusia antara 13 tahun hingga 18 tahun. Pemangkin pula bermaksud pelapis atau perintis manakala ulama’ dan umara’ boleh didefinasikan sebagai individu yang alim dalam pelbagai bidang ilmu.

            Baiklah, sebelum lidah lebih petah berbicara, sebelum diri ini tidak sabar untuk mencurahkan idea-idea yang bernas lagi matang bagi menyokong tajuk pidato saya, ingin saya berkongsi empat fokus prima yang akan saya rungkaikan dan jelaskan kepada sidang hadirin sekalian. Pertama, akhlak remaja sebagai perintis generasi ulama’ dan umara’, kedua, remaja generasi pewaris ilmu ulama’ dan umara’, ketiga, remaja sebagai model dan rujukan masyarakat dan keempat, remaja pembina ketamadunan Islam.

Sidang hadirin sekalian,

            Moleklah kiranya sebelum saya menghurai dengan lebih lanjut fokus pertama saya, akhlak remaja sebagai perintis generasi ulama’ dan umara’, sama-sama kita hayati syair daripada seorang penyair Mesir Mohd Syauqi Bek yang bermaksud ‘Kemuliaan dan maruah sesuatu bangsa itu terletak pada ketinggian akhlaknya, jika hilang akhlaknya maka hilanglah maruah bangsa itu’. Maka, dapatlah kita fahami bahawa akhlak merupakan modal utama yang akan dipandang dan dinilai oleh individu luar bagi menentukan sejauh manakah kualiti yang terdapat pada seseutu bangsa itu. Namun, kemuliaan dan maruah itu tidak hanya merujuk kepada bangsa atau individu tetapi juga kepada agama. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya akhlak dan sahsiah diri yang mantap pada diri remaja itu sebagai pemangkin generasi ulama’ dan umara’. Dapat kito contohi akhlak Rasulullah junjungan mulia sendiri dan dibuktikan lagai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Saydatina Aisyah yang bermaksud ‘Akhlak Rasulullah adalah Al-Quran’. Oleh itu, tidak dapat dinafi dan dipertikaikan lagi bahawa Rasulullah adalah contoh teladan dan qudwatul hasanah kepada semua umatnya.
           
Tiada kejayaan tanpa halangan, tiada kegembiraan tanpa kesedihan. Setiap sesuatu yang diinginkan pasti halangan dan tentangan akan menjelma. Pada dunia mengejar komodenan ini, remaja perlu kuat menepis akhlak akhlak yang bertentangan dengan syariat Islam seperti sekularisme, pluralisme, modernisme dan sebagainya bagi membentuk pelapis generasi ulama’ dan umara’. Mrilah kita renungi hadis Rasulullah yang bermaksud ‘Akhlak yang buruk dapat merosakkan amal sebagai mana cuka merosakkan susu’.

Hadirin yang dihormati sekalian,

            Semangat saya di sini untuk merungkai fokus yang kedua iaitu remaja pewaris ilmu ulama’dan umara’. Sekali lagi sebagai pembuka bicara fokus saya yang kedua, kita fahami firman Allah dalam surah Al-Fathir yang bermaksud ‘Sesungguhnya yang takut kapada Allah dari golongan hamba–hambaNya itu adalah orang-orang yang berilmu pengetahuan’. Jelas di sini ilmu memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Ulama’ dan umara’ sememangnya dikagumi oleh kita semua akan kepakaran dan kefahaman mereka dalam pelbagai bidang ilmu. Sekiranya tiada pewaris untuk diturunkan ilmu-ilmu tersebut, ke manakah akan hilangnya ilmu itu? Adakah akan terkubur bersama jenazah mereka? Mari kita renungkan potongan hadis ini bagi menjawab persoalan kita pada pagi ini yang bermaksud ‘sesungguhnya Allah tidak akan menarik balik ilmu daripada manusia begitu sahaja tetapi Allah akan menarik balik ilmu tersebut dengan mematikan orang-orang alim’. Terang lagi bersuluh bahawa betapa pentingnya peranan golongan remaja mewarisi ilmu daripada para ulama’ dan umara’.

            Kita jadikan Imam Syafie sebagai contoh teladaan dalam usaha menuntut ilmu. Beliau sangat mengutamakan ilmu pengetahuan sehinggakan beliau membahagi masa 1/3 malam untuk berehat, 1/3 malam untuk menulis ilmu pengetahuan dan 1/3 malam untuk beribadat.

Sidang dewan sekalian,

            Fokus ketiga saya pada hari ini ialah remaja sebagai model dan sumber rujukan masyrakat sedunia. Apabila remaja itu sudah hebat dengan sahsiah dirinya, mantap ilmunya maka sudah semestinya remaja itu akan menjadi tumpuan masyarakat untuk dijadikan uswah. Ilmu memainkan peranan penting dalam merealisasikan remaja sebagai sumber rujukan dalam pelbagai aspek kehidupan kepada masyarakat sebagai perintis  generasi para ilmuwan. Sudah sedia maklum bahawa para ulama’ dan umara’ sememangnya menjadi rujukan masyarakat dalam aspek kehidupan, politik, sosial, ekonomi dan sebagainya. Kita ambil contoh empat imam mazhab yang terkenal iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Syafie, Imam Malek dan Imam Ahmad bin Hanbal. Mereka mampu merungkai dan merobek segala permasalahan yang terdapat dalam masyarakat.  Sekiranya remaja masih leka dengan mimpi mereka, siapakah yang akan menggantikan tempat para ulama’ dan umara’ yang menjadi rujukan masyarakat. Sekiranya keadaan ini berlaku, maka rosaklah dan pupuslah generasi pemangkin ulama’ dan umara’. Fikirkanlah.. Maka, saya seru kepada remaja hari ini untuk menyhut kata-kata ahli cerdik pandai yang berbunyi ‘remaja yang berwawasan apabila dilontar ke langit menjadi kejora, dibenam ke bumi menjadi permata, dihumban ke laut manjadi mutiara.

Hadirin dan hadirat sekalian,

            Renungi sabda Rasulullah yang bermaksud ‘seorang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada seorang mukmin yang lemah’. Hadis ini adalah kunci pembuka bicara fokus saya yang keempat iaitu remaja pembina ketamadunan Islam. Apabila akhlak remaja itu telah mantap, apabila daya intelektual mereka mencapai tahap yang mengagumkan, maka remaja itulah perintis dan penentu kepada ketamadunan Islam yang diimpikan oleh kita semua. Usia remaja yang dianugerahkan dengan kecerdasan mental dan fizikal, kekuatan rohani dan jiwa, memudahkan mereka untuk menjadi pemangkin ulama’ dan umara’. Hal ini dapat diperjelaskan lagi apabila generasi remaja itu mempunyai daya inovatif yang tinggi, semangat jihad yang berkobar maka akan lahirlah barisan pemuda pemudi Islam yang mempunyai kepimpinan yang ideal di mana dapat merobek segala permasalahan dan merungkai sejuta kemajuan.

            Dapat di ambil contoh daripada sejarah hidup Rasulullah di mana beliau telah ditentang hebat oleh golongan masyarakat Arab Jahiliah yang tidak menyukai dakwah yang disampaikan oleh beliau. Sehinggakan mereka sanggup melakukan beberapa perkara untuk memberhentikan dakwah Islamiah tersebut. Antaranya, baginda ditawarkan dengan perempuan-perempuan cantik, dipulau keluarganya daripada masyarakat, diejek dalam bait-bait syair dan sebagainya. Namun, kekuatan imannya telah mengalahkan semua tentangan hinggakan tamadun Islam berdiri dengan gahnya hingga ke hari ini. Sebagai penutup bicara bagi fokus saya yang keempat ini, ‘cuba lihat sang belang dijagak rimba, ia dimahkotakan sebagai raja bukan kerana namanya tetapi kerana ketangkasan dan kebijaksanaannya’.      

Hadirin yang dimuliakan,

            Menjejak babak-babak terakhir pidato saya, saya merumuskan semula empat fokus prima yang telah saya bahaskan tadi.
                       
·         Pertama, akhlak remaja amat penting dalam melahirkan generasi pemangkin ulama’ dan umara’.
·         Kedua, remaja sebagai generasi pewaris ilmu ulama’ dan umara’.
·         Ketiga, remaja sebagai madel dan sumber rujukan masyarakat sekeliling.
·         Keempat, remaja pewaris ulama’ dan umara’ dalam membina tamadun Islam.

Sebelum saya mengudur diri, ambillah pesanan yang diwasiatkan oleh Luqman al-hakim kepada puteranya sebagai azimat. ‘Hai anakku, pergaulilah para alim dan rapatilah mereka itu dengan kedua lututmu. Sesungguhnya Allah menghidupkan hati dengan cahaya hikmah sebagaimana Dia menghidupkan bumi dengan hujan lebat dari langit’.

Sekian, terima kasih.. 

No comments:

Post a Comment